Berjaya atau Gagal.

Salam perkenalan,

Ini merupakan hasil coretan pertama aku. Penulisan ini dihasilkan bertujuan  untuk memenuhi hobi baru aku iaitu, menulis. Aku tidak pasti tentang hobi ini - kekal atau sementara kerana ia hanyalah untuk mengisi kebosanan aku sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan penyebaran virus Covid-19. Fokus aku dalam menulis blog ini adalah lebih menjurus kepada perkara personal berkaitan diri aku yang meliputi luahan perasaan, perkongsian pendapat, pengalaman hidup atau ringkasnya - boleh dikatakan sebagai catatan tentang kehidupan.

Perjalanan ini bermula dengan coretan berikut;
Dari kecil hingga ke besar manusia sudah lali dengan norma peperiksaan. Bermula dari zaman tadika, sekolah rendah, sekolah menengah sehinggalah zaman universiti manusia masih setia dengan sistem ini. Tidak dinafikan bahawa sistem peperiksaan kadang-kala membuatkan diri ini terkapai-kapai mencari kebenaran dalam membuka tali-tali yang tersimpul di kotak ingatan. Inilah corak pendidikan negara yang diimplementasikan sebagai wadah untuk melahirkan warganegara yang bertamadun. Peperiksaan digunakan untuk menguji tahap intelektual - kepintaran, kebolehupayaan dan kemahiran seseorang dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Pelajar sering menganggap bahawa peperiksaan adalah suatu sistem yang akan menentukan sama ada mereka 'BERJAYA' atau 'GAGAL' dalam kehidupan. Pada mulanya, aku pun berfikir sedemikian. Ini kerana aku sering melihat kawan-kawan yang mendapat keputusan cemerlang akan menerima banyak pujian dan penghargaan daripada orang-orang di sekelilingnya. Pada ketika itu aku berpendapat bahawa individu yang memperoleh gred atau skor yang tinggi adalah golongan bijak pandai dan perlu dihormati. Perkara ini menyebabkan wujudnya perspektif serong terhadap golongan-golongan yang lemah dalam pelajaran. Kumpulan yang kurang mahir ini pula akan merasakan diri mereka tidak berguna apabila selalu dicemuh dan dihina oleh masyarakat sekeliling. Akhirnya, mereka kurang bermotivasi untuk mencapai kejayaan sama ada dalam pelajaran atau urusan hidup. Secara sedarnya, sistem penggredan memberikan impak besar terhadap penilaian dan jangkaan daripada manusia itu sendiri. Baik atau buruk sesuatu perkara tersebut adalah bergantung kepada faktor pilihan dan cara penerimaan yang dihuni oleh individu itu. Positive will attract negative, so we must balance it well.




sumber gambar adalah dari carian Google

Bagi aku, Berjaya atau Gagal bukanlah perkara yang utama dalam menentukan hala tuju hidup seseorang tetapi konsep tersebut adalah suatu proses untuk mengajar diri supaya berfikir dengan lebih matang dan terbuka. Norma 'kejayaan' dan 'kegagalan' itu sendiri mengandungi makna tersirat yang tidak terjangkau dek fikiran kita sendiri.  Sematlah di dalam fikiran anda bahawa semua manusia boleh berjaya jika mereka mahu. Kepada mereka di luar sana yang sudah tidak berminat untuk belajar, fikir dan muhasabah balik. Apa yang kau cari sebenarnya?

Berjaya boleh jatuh, Gagal juga boleh bangkit. 
Gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya.

Ayuh anak muda, kejarlah peluang menuntut ilmu sebagai wahana - medan atau saluran pencapaian tertinggi dalam hidup. Aku sering berpegang pada ayat yang bermaksud lebih kurang begini:

 'Jangan pernah lelah dalam menuntut ilmu jika engkau tidak mampu menanggung peritnya kebodohan'

Ilmu itu luas. Carilah keseronokan dalam belajar supaya kita akan terus bersemangat untuk memahami kehidupan yang penuh dengan hikmah ini. Banyak lagi perkara yang menanti kita di masa hadapan. Isi peluru meriam dan bersedia untuk berlepas. Allah adalah sebaik-baik perancang :)

2 Safar 1442 H.


Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Memakai Braces.